Twitter
RSS

Impian Bulan

Aku gemar bermimpi. Berfantasi. Aku gemar membiarkan diriku hanyut dalam lautan ilusi yang kucipta sendiri dalam fikiranku. Aku bukan menolak realiti, cuma aku sukakan keindahan. Keindahan yang cuma aku sendiri mengerti.

Manusia dicipta tidak sempurna - dengan benak yang sentiasa dibayangi nafsu tetapi sentiasa juga merasa kosong walau betapa banyak kebahagiaan yang mengisinya. Manusia sentiasa merasa tidak puas, dan begitu juga aku. Aku manusia biasa, masih merasakan ada banyak cela dalam segala keindahan yang terbentang di hadapanku.

Entah sejak bila, aku mula mencipta keindahanku sendiri. Mulanya hanya di fikiran, dan mula terjebak di hati. Dan tanpa kusedari, sudah banyak keindahan telah kuciptakan. Tetappi hanya ilusi dalam hati, dan tiada siapa yang mengetahui. lalu aku bertekad, biarlah ilusi itu dimimpikan juga oleh yang lain - mereka yang juga menyukai kelembutan bayu ilusi ciptaan pengkarya, mereka yang juga mencintai alam mimpi....

Tetapi disiplin bukanlah sesuatu yang suka mendampingiku. Keteguhan juga selalu meninggalkanku. Tanpa mereka, aku cuma gadis yang lalai dan alpa. Hanya gadis yang suka bermimpi kosong. Hanya gadis yang semakin kejauhan dari alam nyata. Jadi, aku bertekad, biarlah aku bina etikaku sendiri. Agar disiplin 'terpaksa' menyelubungiku. Agar keteguhan 'terpaksa' bersamaku.

Dengan adanya penulisan di alam maya ini, kuharap karyaku terus menerus dapat kuhasilkan. Tanpa ada istilah 'koma' atau 'noktah' dalam diriku. Mungkin suatu hari nanti, karyaku benar-benar memasuki dunia nyata, dan dibaca oleh semua. Siapa tahu?

Aku hanya mampu bermimpi. Tetapi mimpiku ini bukan angan tetapi impian. Impian yang mahu kucapai.

Comments (0)

Post a Comment